, ,

Eksklusif: Tahukah Anda Ada Keturunan Yahudi Di Malaysia?

Salam.my – Rupanya orang yahudi dah lama menetap di Malaysia. Ini buktinya.

YAHUDI MALAYSIA

Yahudi Malaysia adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang-orang Yahudi yang tinggal di Malaysia, atau yang berasal dari negara ini. Sejumlah yang kaum ini pernah hidup secara terbuka di negeri Pulau Pinang sehingga ke arah akhir 1970-an. Mereka juga pernah menduduki di tempat lain di negara ini terutamanya di Negeri Sembilan dan Melaka. Orang Yahudi Malaysia terdiri daripada keturunan Yahudi Sephardi yang tinggal dalam kalangan orang Kristang (orang Serani), Yahudi Mizrah (majoritinya adalah orang Yahudi Baghdadi), Yahudi Cochin dari India dan Yahudi Ashkenazi.

SEJARAH ORANG YAHUDI DI MALAYSIA

Perhubungan pertama antara masyarakat Yahudi dan masyarakat di Tanah Melayu (yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia) bermula pada sekitar kurun ke-9 yang bermula di Lembah Bujang. Pada abad ke-18, kaum ini dijumpai di Bazar Kosmopolitan, Melaka. Kemunculan Yahudi Baghdad di Pulau Pinang berkemungkinan besar disebabkan oleh kemajuan perniagaan dan perdagangan yang diuruskan oleh British pada sekitar kurun ke-19. Keadaan ini telah menarik perhatian saudagar-saudagar Yahudi seperti Sassoon dan Meyers dari India. Ada juga yang mengatakan terdapat penghijrahan secara beramai-ramai orang Yahudi dari wilayah Baghdad Uthmaniyyah ketika pemerintahan Daud Pasha pada tahun 1817 hingga 1831.

Orang Yahudi pertama yang telah tiba dan mendiami Tanah Melayu adalah Ezekiel Aaron Menasseh. Beliau telah berhijrah dari Baghdad pada tahun 1895. Menurut sumber, Manasseh mengamalkan kehidupan dan budaya Yahudi selama 30 tahun sehingga selepas Perang Dunia Pertama. Ketika itu, populasi masyarakat Yahudi yang berhijrah dan mendiami Tanah Melayu semakin meningkat.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, masyarakat Yahudi telah dipindahkan ke Singapura dan sebilangan daripada mereka telah dibunuh dan dikebumikan ketika pendudukan Jepun. Selepas peperangan, majoriti masyarakat Yahudi Tanah Melayu telah berhijrah ke Singapura, Australia, Israel dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1963 hanya terdapat sekitar 20 keluarga yang tinggal di Malaysia.

SAUMAAH

Satu-satunya rumah ibadat Yahudi (saumaah) di Pulau Pinang yang terletak di Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. Penutupan ini adalah disebabkan masyarakat Yahudi yang pada ketika itu tidak dapat melakukan ibadat minyan, di mana terdapat seramai 10 orang lelaki berkumpul untuk beribadat secara beramai-ramai.

NAMA JALAN

Sebuah jalan di Pulau Pinang yang dinamakan sebagai Jalan Yahudi (Jew Road) pernah diabadikan kerana disitu merupakan kawasan majoriti masyarakat Yahudi. Jalan ini merupakan jalan kecil yang terletak di antara Jalan Burmah dan Jalan Macalister di George Town. Kini, nama jalan tersebut telah ditukarkan kepada Jalan Zainal Abidin dan ini telah memadamkan salah satu daripada legasi kewujudayan Yahudi di Malaysia.

YOU TAI: CINA YAHUDI DI TANAH MELAYU

Kehadiran masyarakat Yahudi dalam dunia benua Asia secara umumnya boleh dikatakan sebagai pelik atau kelihatan seperti mustahil.

Semua orang tahu, ketika proses pembinaan negara bangsa sedang rancak berkembang pada penghujung abad ke-18 dan 19, bangsa Yahudi wujud dan menetap di Eropah.

Walaupun mereka boleh dikatakan sebagai tidak bernasib baik kerana menerima layanan buruk daripada sistem feudal, dan kemudiannya digantikan oleh sistem negara bangsa, sejarah telah memahat bangsa Yahudi sebagai bangsa yang sinonim dengan dunia Eropah.

Meskipun tidak dinafikan terdapat kemungkinan penghijrahan orang Yahudi daripada Eropah ke Asia dalam skala yang kecil, kewujudan mereka boleh dianggap sebagai tidak begitu signifikan berbanding populasi besar di Asia.

Walaupun begitu, menurut laporan Joshua Project, sebuah pertubuhan misionari Kristian terbesar dunia, di China hari ini, populasi You Tai, Chinese-Jewish (Cina-Yahudi) adalah seramai 2560 orang.

30% Kristian daripada mereka adalah Kristian di mana suku daripada jumlah itu adalah bermazhab Kristian Evangelist.

Menurut laporan itu lagi, bahasa utama yang menjadi pertuturan You Tai ini adalah Bahasa Mandarin. [1]

Terdapat pelbagai teori kedatangan Yahudi ke Tanah Besar China.

Menurut Professor Chavannes, bangsa Yahudi mula datang ke China antara 960M sehingga 1126 M (Dinasti Sung) daripada India melalui jalan laut.[2]

Terdapat beberapa teori lagi terutamanya daripada kaedah dan laluan yang digunakan oleh bangsa Yahudi yang kebanyakannya mendiami kawasan barat daya Rusia ke Tanah Besar China.

Antaranya ialah menggunakan laluan sutera antara Utara India dan barat daya China. Malah, ada pendapat yang mengatakan Yahudi mula datang sejak zaman dinasti Ming lagi iaitu sekitar 58-75M dari wilayah-wilayah barat Tanah Besar China termasuklah Samarkand dan Parsi.

JEJAK YAHUDI DI TANAH MELAYU

Wujudkah komuniti Yahudi di Tanah Melayu seperti di Tanah besar China atau sekurang-kurangnya komuniti Cina yang mempunyai darah dan kaitan rapat dengan Yahudi, seperti You Tai?

Menurut sebuah dokumentari mengenai komuniti Yahudi yang bertaburan di serata dunia yang diterbitkan oleh Budiyanskiy, dikatakan You Tai telah dikenalpasti wujud di Melaka 60 tahun sebelum You Tai di Kaifeng, China ditemui oleh Matteo Ricci.

Selain itu, terdapat juga satu surat daripada St Francis Xavier mengenai satu kelompok pendatang Cina di Melaka yang tidak makan daging Khinzir dan merayakan perayaan yang berbeza daripada Cina yang lain.

St Francis Xavier membuat kesimpulan bahawa mereka ini sama ada kelompok Kristian Cina yang mengikut adat Yahudi, atau kelompok Yahudi-Cina (You Tai).

Etnik Hakka juga dikatakan masuk secara beramai-ramai ke Tanah Melayu dan juga di Sabah dan Sarawak melalui skim pengambilan pekerja.

Etnik Hakka seperti yang disebutkan sebelum ini adalah salah satu daripada bangsa Han yang berada di Kaifeng yang menjadi petempatan utama bagi Yahudi yang berasimilasi ke dalam masyarakat Cina.

Antara perkara yang mengejutkan ialah aktiviti perdagangan keluarga Yahudi, iaitu Kadoorie dalam industri getah di Tanah Melayu semasa era kehadiran koloni British di Tanah Melayu.

Bangsa Yahudi sinonim dengan diaspora (penghijrahan beramai-ramai) dan tidak hairanlah mereka muncul di merata-rata tempat di dunia.

Penghijrahan ke Tanah Besar China boleh dikatakan agak menarik kerana sebahagian besar Yahudi yang berhijrah ke sana berasimilasi ke dalam beberapa kelompok etnik di China terutamanya etnik Hakka.

Mereka hidup dengan budaya Cina, mempunyai rupa paras orang Cina dan berbahasa dengan bahasa Cina.

Maka tidak hairanlah jika kewujudan kelompok ini sukar untuk dikenalpasti oleh kelompok-kelompok Yahudi lainnya di seluruh dunia.

Hubungan rapat dan saling memahami ini mungkin menjadi sebab Dr Sun Yat Sen (etnik Hakka) yang merupakan pengasas dan Presiden Republik Rakyat China yang pertama telah menulis surat menyatakan sokongan terhadap projek Zionis.

Melalui dapatan di atas, hipotesis awal mendapati terdapat Yahudi berketurunan Cina di Tanah Melayu ini.

Oleh:

Zul Fahmi Bahrudin
Penganalisis Sejarah dan Perlembagaan Malaysia
Institut Kajian ArusBaru Malaysia

sumber: ISMAweb, Wikipedia

2 Pings & Trackbacks

  1. Pingback:

  2. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *