, , ,

Rakyat Mula Gusar Isu Rohingya. Ini Jawapan Menteri Agama Yang Ditunggu Ramai

Salam.my – Baru-baru ini isu Rohingya viral di media social. Pelbagai reaksi netizen atas isu ini dan ianya telah mengundang kerisauan ramai orang. Ini jawapan Datuk Dr Zulkifli yang ditunggu ramai.

Isu Rohingya yang menggusarkan masyarakat Malaysia ketika ini perlu ditangani dengan bijaksana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, isu itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Tanpa menyatakan sama ada masyarakat perlu membantu atau menolak etnik Rohingya, Zulkifli berkata isu Rohingya tidak boleh difahami melalui satu naratif atau perspektif sahaja

“Dalam hal seperti ini, kebijaksanaan dalam menguruskan adalah amat penting. Saya melihat isu ini, lebih kepada isu bagaimana situasi yang berlaku di Malaysia ketika seluruh dunia menghadapi kesukaran untuk berada dalam keadaan stabil seperti biasa yang memerlukan kekangan yang cukup jelas.

“Kita tengok apa yang berlaku di negara ini dengan adanya tempat yang dikuarantin begitu ketat dek kerana wabak (COVID-19) menular.

“Maka, saya melihat dalam isu seperti ini langkah diambil itu ditimbang dalam dua keadaan yang mungkin amat sukar, tapi saya yakin akan ada penyelesaian yang terbaik. InshaAllah,” katanya kepada AlHijrah Online di Pusat Penyiaran Digital TV AlHIjrah, Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kegusaran masyarakat Malaysia mengenai tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan bot pelarian Rohingya minggu lalu bagi menjaga sempadan dan mengekang penularan COVID-19.

 “Apa berlaku sekarang ini, kita fahami situasinya yang cukup mencabar. Dengan mana berlaku kemasukan perlu dikuarantin dan seumpamanya,” kata menteri agama itu.

Dalam insiden minggu lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan menghalang kemasukan bot yang sarat dengan pelarian Rohingya sebelum mengiringinya ke luar perairan negara selepas membekalkan makanan atas dasar kemanusiaan.

Isu Rohingya bagaimanapun mengundang sentimen negatif masyarakat apabila ada segelintir pihak di media sosial membakar kebencian umum dengan mengaitkan insiden berlaku di perairan negara dengan dakwaan merbahaya kononnya etnik Rohingya yang berada di Malaysia menuntut hak kerakyatan.

Isu itu menyebabkan rakyat Malaysia, termasuk umat Islam, memberikan pandangan berbeza serta berpecah dua kepada kelompok menentang dan kelompok mahu membantu etnik Rohingya. 

Terdahulu, Zulkifli turut melancarkan aplikasi Spotify TV AlHijrah yang menawarkan lebih 200 kandungan audio Islamik dalam usaha stesen TV itu mendekati audiens di dalam dan luar negara.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah), Namanzee Harris.

Ditanya mengenai Ramadan, Zulkifli berpesan agar umat Islam menjadikan bulan Ramadan sebagai madrasah untuk melonjakkan ketaqwaan dan ibadat kepada Allah swt.

sumber: AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *